Senarai jutawan Malaysia

Ananda Krishnan is the richest Malaysian

AHLI perniagaan, Tan Sri T Ananda Krishnan muncul sebagai rakyat Malaysia yang paling kaya di negara ini tahun ini dengan kekayaan berjumlah RM8.77 bilion.

Ananda, yang disenaraikan sebagai rakyat Malaysia ketiga paling kaya tahun lalu, kini mengambil alih tempat Tan Sri Robert Kuok Hock Nien yang menduduki tempat teratas pada 2002.

Ananda ialah pemegang saham utama kumpulan Maxis dan Tanjong manakala Kuok yang lebih dikenali sebagai ‘Raja Gula’ menguasai empayar perniagaan Kuok Brothers.

Majalah perniagaan Malaysian Business, dalam terbitan 16 Februari lalu, menyenaraikan Kuok yang mempunyai kekayaan RM8.01 bilion sebagai rakyat Malaysia kedua paling kaya tahun ini.

Dalam senarai “40 rakyat Malaysia Paling Kaya 2003”, Malaysian Business menyenaraikan Tan Sri Quek Leng Chan yang menguasai Kumpulan Hong Leong, di tangga ketiga.

Quek yang tahun lalu disenaraikan di tangga keempat, menambah kekayaannya sebanyak 50 peratus kepada RM6.6 bilion untuk mengatasi pemilik kumpulan Genting, Tan Sri Lim Goh Tong.

Kedudukan Lim yang mempunyai kekayaan RM5.19 bilion merosot berikutan pengurangan sahamnya dalam syarikat milik keluarga, Kien Huat Realty menjelang persaraannya daripada arena korporat.

Menurut Malaysian Business, walaupun sentimen pasaran modal yang lembap, jumlah kekayaan 40 rakyat Malaysia yang paling kaya itu meningkat 20 peratus kepada RM50 bilion tahun ini.

Katanya, jumlah peningkatan kekayaan 40 individu itu ialah bersamaan dengan kira-kira suku daripada keseluruhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

Walaupun Ananda yang kekayaannya meningkat berikutan penyenaraian Maxis Communications Bhd tahun lalu, kedudukannya dijangka dicabar hebat semula oleh Kuok tahun depan.

Ia berikutan jutawan itu dikatakan sedang memperkukuhkan empayar perniagaannya dan dijangka menyenaraikan syarikat perkapalan miliknya ke pasaran saham tempatan tahun ini.

Menurut Malaysian Business, jumlah jutawan yang memiliki kekayaan lebih RM1 bilion meningkat kepada 10 orang tahun ini berbanding hanya lapan tahun lalu.

Anak Lim, Tan Sri Lim Kok Thay ialah muka baru dalam senarai itu dan berada terus di tangga kelapan dengan jumlah kekayaan bernilai RM1.38 bilion.

Menduduki tempat kelima ialah Tan Sri Teh Hong Piow dengan kekayaan RM2.6 bilion yang menguasai Kumpulan Public Bank manakala keenam, Tan Sri Tiong Hiew King (RM2.34 bilion, kumpulan Rimbunan Hijau).

Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary (RM1.67 bilion, Yayasan Albukhary) berada di tangga ketujuh manakala Tan Sri Lee Shin Cheng (RM1.18 bilion, IOI Corporation) di tempat kesembilan.

Menduduki tempat ke-10 senarai itu ialah Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar yang menguasai MK Land Holdings dengan kekayaan berjumlah RM1.01 bilion.

Senarai penuh 40 individu paling kaya di Malaysia itu boleh didapati dalam Malaysian Business terbitan 16 Februari 2003 yang kini sudah diedarkan ke pasaran.

Malaysian Business, majalah perniagaan terkemuka di negara ini yang diterbitkan Berita Publi-shing Sdn Bhd, juga menampilkan MB100, senarai 100 syarikat pilihan di Bursa Saham Kuala Lumpur.

malaysian millionaire now in blogger!

This blog gives u info about millionaires in Malaysia. Hope we can get some info/ tips from successful people like them.